Idea kreatif bersama isteri bawa pulang Peugeot 307

KUALA LUMPUR: Idea bersama daripada pasangan suami dan isteri dalam menghasilkan slogan kreatif memberi hasil membanggakan kepada peniaga, Nasarudin Zakaria apabila dipilih sebagai pemenang utama peraduan Undi & Menang Anugerah Bintang Popular 2007 Berita Harian (ABPBH2007).

Nasarudin, 39 dari Bukit Sekilau, Kuantan memenangi kereta Peugeot 307 1.6 bernilai RM140,064.

Beliau yang menghantar 40 borang penyertaan dengan slogan berbeza, tergerak untuk menyertai peraduan ini selepas menyaksikan siri Jelajah Promosi ABPBH2007 bersama isteri dan anaknya di Kuantan Parade pada 1 dan 2 Mac lalu.

“Dari situ timbul keinginan untuk memiliki (kereta Peugeot) sekiranya rezeki menyebelahi saya.

“Saya dan isteri pelanggan utama akhbar ini, berusaha mendapatkan slogan terbaik selain menghiasi borang itu dengan daya kreativiti batik sebagai tema anugerah itu,” katanya.

Nasarudin adalah antara pemenang yang menerima pelbagai hadiah dalam Peraduan Undi & Menang ABPBH2007 di adakah di West Garden Lawn, Hotel Palace of Golden Horses.

Selain pembaca, majlis ini juga diadakan untuk menyampaikan hadiah kepada artis yang memenangi pelbagai kategori ABPBH2007.

ABPBH2007 berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands pada 30 Mac lalu yang menyaksikan Mawi sekali lagi dipilih oleh pembaca dan peminat sebagai Bintang Paling Popular.

Mawi menerima sebuah kereta Peugeot 407 (2.0) bernilai RM143,000 tajaan Nasim Sdn Bhd, barang kemas Habib tajaan Habib Jewels Sdn Bhd bernilai RM150,00 dan pakej penginapan mewah di Hotel Palace of Golden Horses bernilai RM8,000.

Artis dan personaliti yang hadir menerima hadiah kemenangan masing-masing ialah Rosyam Nor, Datuk Siti Nurhaliza, kumpulan Rabbani, Rusdi Ramli, Fasha Sandha, Dynas dan Dafi.

Penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, M Nasir turut hadir pada majlis ini.

Hadiah utama kepada pembaca dan Bintang Paling Popular disampaikan oleh Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Hishamuddin Aun.

Turut hadir ialah Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Manja Ismail, Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah dan Pengarang Bintang Popular, Akmal Abdullah.

Sementara itu, Hishamuddin dalam ucapannya berkata, pembaca Berita Harian atau peminat turut menyumbang kepada kejayaan seseorang artis.

“Merekalah yang memberi undian dan memilih artis yang mana selayaknya diiktiraf menang seperti yang kita lihat pada malam 30 Mac lalu.

“Sebagai tanda mengiktiraf sokongan pembaca dan peminat, Berita Harian menyediakan hadiah istimewa kepada mereka.

“Pemilihan pemenang kategori pembaca ditentukan melalui slogan kreatif dan menarik menerusi borang undian dihantar kepada penganjur hampir dua bulan,” katanya.

Hadiah kedua peraduan Undi & Menang yang menerima barang kemas Habib bernilai RM50,000 dimenangi oleh Amalina Othman, 30 dari Shah Alam, Selangor.

Tiga pemenang hadiah tempat ketiga yang masing-masing menerima barang kemas Habib bernilai RM20,000 ialah Mohd Shahizan Md Yusof dari Kuala Lumpur; Afiz Mohd Noor dari Kuala Terengganu dan Abu Sufian Muin dari Subang Jaya, Selangor.

Source: Berita Harian

Nota Peraduan.com – anda pun boleh menang juga!