Remaja menang hadiah utama MSAM, Berita Harian, 2013/04/28

Kangar: Seorang remaja berusia 19 tahun tidak menyangka peraduan yang disertai hanya untuk suka-suka pada Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) Edisi Khas Ke-14, di sini membawa tuah kepadanya apabila memenangi sebuah kereta.

Mohd Faridzuan Aznan dari Kampung Guru, di sini terpilih memenangi hadiah utama sebuah Toyota Vios 1.5 TRD Sportivo tajaan UMW Holdings Berhad selepas tiga kali datang menyertai ePeraduan yang diadakan sepanjang MSAM.

PNB minta hadir

“Pegawai Permodalan Nasional Berhad (PNB) menghubungi meminta saya hadir pada majlis penutupan MSAM dan memaklumkan bakal menerima hadiah sagu hati bagi ePeraduan itu.

“Namun, saya terkejut apabila diumumkan saya menerima hadiah kereta lebih-lebih lagi disampaikan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya ketika ditemui pada majlis penutup MSAM di sini, semalam.

Hadir sama isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Seri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu; Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

hadiah kereta

Faridzuan berkata, dia berhasrat menghadiahkan kereta itu kepada ibunya, Roshida Ismail, 53, yang kebetulan mahu membeli kereta baru kerana kereta digunakan sebelum ini rosak.

Sementara itu, Hafizura Hashim, 29, dari Kampung Bangsal Lebah membawa pulang sebuah Perodua Alza tajaan Perodua dan Siti Khuzaimah Roslan, 29, menerima kereta Ford Fiesta 1.6L Sport.

Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/ToyotaVios1_5TRDuntukibu/Article/